Polis serah notis minta Ketua Sumber Manusia SK beri keterangan secara bertulis
Wednesday, 28 July 2010 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 28 JulĀ – Dua pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini menyerahkan surat notis arahan kepada Ketua Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Pelita Koridor Sdn Bhd, Rohani Abd Rahman menghadiri penyiasatan di bawah Sekyen 112 Kanun Prosedur Jenayah di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, IPD Shah Alam pada jam 10 pagi Jumaat 30 Julai ini.
Notis 111 tersebut yang ditandatangani ASP Rejali ak Angong diserahkan di pejabat Suara Keadilan jam 4.45 petang tadi oleh Sarjan Nordin Norman dan Sarjan Silam Abdul Samad.
Isnin lalu, Rejali yang menghubungi Rohani melalui telefon meminta beliau menghadirkan diri di balai polis Petaling Jaya atau di IPD Putrajaya untuk direkodkan keterangannya secara bertulis.
Beliau kemudiannya memaklumkan kepada pegawai polis itu bahawa beliau enggan berbuat demikian selagi notis atau surat arahan dikeluarkan secara rasmi.
Sebelum itu, pada 2 Julai lepas, pihak Kementerian Dalam Negeri menyerahkan surat tunjuk sebab yang dialamatkan kepada pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berhubung isu Felda terbitan lidah rasmi KEADILAN itu.
Antara kandungan surat tersebut, Panel 13 KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Suara Keadilan yang bertarikh 29 dan 30 Jun mengenai perkara di atas.
“Panel 13 Kementerian juga tidak berpuas hati dengan penjelasan di para 5 dan11 di dalam surat jawapan yang diterima pada 30 Jun berkaitan dengan tajuk “Felda Bankrap” itu.
“Sila ambil perhatian bahawa Panel 13 KDN belum lagi mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan bagi Suara Keadilan. Justeru, permit bagi penerbitan Suara Keadilan kini tidak lagi sah sehingga satu keputusan mengenainya dikeluarkan oleh Kementerian ini,” jelas kandungan surat itu lagi.- SUARA KEADILAN

