MB minta Syabas selaras tarif air
Wednesday, 28 July 2010 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 28 Jul – Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim meminta supaya Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas) menyelaraskan tarif air bagi meter individu dan meter pukal untuk membolehkan pengguna di Selangor menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan dengan caj yang sama.
Beliau berkata pada masa ini, Syabas mengenakan caj yang berbeza mengikut jenis meter iaitu bagi meter individu, setiap 20 meter caj dikenakan ialah RM11.40, RM16 untuk pengguna meter pukal bagi pangsapuri kos rendah dan RM27 (pangsapuri bukan kos rendah).
“Kita berpendapat perbezaan tarif air mengikut jenis meter tidak patut berlaku dan akan mengadakan rundingan bersama pihak Syabas agar tarif perkhidmatan air diselaraskan untuk semua,” katanya.
Abdul Khalid berkata perbezaan tarif mengikut jenis meter ini dikenal pasti ketika Kerajaan Negeri sedang memperluaskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan kepada penghuni rumah kos rendah yang mengggunakan meter pukal.
Beliau berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan sistem kupon air percuma bagi memastikan penduduk kediaman bertingkat jenis kos rendah turut menikmati kemudahan berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
– BERNAMA

