Mustahil UMNO-Pas kerjasama walaupun tanpa Nik Aziz: Anwar

Wednesday, 28 July 2010 | Ruangan: Berita

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerjasama UMNO-Pas tidak akan menjadi realiti meskipun tanpa ketiadaan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

UMNO beranggapan bahawa Nik Aziz menjadi halangan besar bagi kerjasama politik dan perpaduan antara UMNO- Pas, idea yang dicetuskan berulang kali sejak selepas 8 Mac 2008.

“Pas tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan UMNO berdasarkan pengalaman lalu dan tanpa bersandarkan prinsip.

“Pemimpin Pas juga menolak kerjasama ini,” kata Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen dalam temu bual disiarkan hari ini sempena lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam semalam.

Selain itu jelas Anwar, UMNO juga tidak faham Pas dan komponen BN itu merasakan jika “mereka boleh menawan Nik Aziz mereka boleh menguasai Pas.”

“Bersama Pakatan Rakyat (PR) juga Pas, DAP dan PKR mempunyai prinsip dan bagaimana nak fikirkan rundingan dengan UMNO tanpa syarat.

“… rundingan apa tanpa syarat,” katanya lagi.

Anwar, juga Penasihat PKR, yang menjadi faktor penting membawa ketiga-tiga parti itu di bawah PR menambah, perpaduan itu adalah satu tuntutan dan kalau betul mana-mana pihak mahukan perpaduan ia mesti dimulakan dengan ‘premis yang betul’.

“Mesti ikhlas tegakkan keadilan dan hentikan kezaliman ini dahulu.

“Jika tidak perpaduan akan dilihat sebagai Melayu dilihat cuba mendominasi kumpulan yang lain,” katanya.

Kata Anwar, tiada orang akan menentang jika orang Islam dan Melayu bersatu.

“Saya pun kata bagus,” katanya sambil menambah, “namun bersatu untuk apa?”

“Bersatu itu adalah untuk menegakkan sesuatu dengan lebih baik, bukan bersatu kerana diancam,” katanya. – MALAYSIANINSIDER