‘Sinar Keadilan’ edisi ke-3 Suara Keadilan

Tuesday, 27 July 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM,  27 Julai: Selepas dua edisi Suara Keadilan berjaya diterbitkan dengan nama baru selepas digantung, kini edisi ketiganya pula berada di pasaran dengan nama Sinar Keadilan.

Ianya diterbitkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan tajuk utama muka hadapannya, ‘Projek Mencurigakan…RM12 Ribu Juta Untuk JPM’.

Edisi kali ini mendedahkan tindakan kerajaan UMNO- Barisan Nasional memotong subsidi untuk rakyat dengan menaikkan harga barangan asas seperti petrol dan gula, namun pada masa yang sama RM12 Ribu Juta diguna untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Peruntukan ke JPM tersebut menurut artikel itu lagi merupakan bajet yang paling besar berbanding daripada bajet kebanyakan kerajaan-kerajaan negeri.

Manakala di muka belakang akhbar itu pula memaparkan berita yang mempersoalkan reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membisu berhubung kegagalan projek yang dijalankan sebuah syarikat perikanan, Malaysian International Tuna Port (MITP) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ketika beliau menjadi Menteri Asas Tani.

Di bahagian berita bergambar turut dimuatkan liputan bergambar sekitar majlis memperingati mendiang pembantu politik Exco Selangor,  Teoh Beng Hock yang kematiannya masih lagi ‘misteri’ ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas.

Turut dimuatkan gambar-gambar samseng upahan UMNO yang berdemontrasi di depan pintu pagar Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu pasir.

Sebelum ini, terbitan kedua akhbar tidak berkala itu, ‘Obor Keadilan’ didakwa dirampas di sekitar kawasan Lembah Kelang oleh beberapa pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang seterusnya melarang penjual menjual akhbar berkenaan.