Selangor pertimbang langkah bantu tarik pelaburan

Tuesday, 27 July 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 26 Jul – Selangor akan menimbang beberapa cadangan untuk membantu kerajaan pusat mengatasi masalah menarik pelaburan asing yang semakin merungsingkan.

Malaysia hanya menarik pelaburan langsung asing bernilai empat billion ringgit sahaja tahun baru, iaitu susut 81 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ahli Parlimen PJ Utara dan juga pakar ekonomi Tony Pua berkata meskipun ditekan oleh UMNO-BN, kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjawab untuk mengadakan dasar-dasar mapan bagi menarik pelabur asing.

Antara lain beliau mencadangkan kerajaan negeri mempercepat penyelarasan perkhidmatan awam serta melicinkan operasi kerajaan tempatan bagi mewujudkan iklim yang mesra dan pantas untuk perniagaan dan pelabur.
“Tender terbuka antarabangsa untuk projek pembangunan seperti yang dilakukan Singapura. Penang juga buat tender untuk Bayan Mutiara kepada pihak antarabangsa, untuk menarik perhatian antarabangsa kembali ke Selangor.” jelas Tony.

Beliau berkata demikian dalam Dialog Belanjawan 2011 Kerajaan Negeri Selangor, yang antara lain merencanakan strategi memacu pelaburan asing yang terkesan dengan karenah UMNO-Barisan Nasional.

Tony Pua menjelaskan walaupun kuasa negeri adalah terhad, namun Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan dengan menggalak sektor swasta memandu pembangunan Selangor, serta menguja persaingan pengguna untuk hartanah-hartanah kos tinggi.

Menurut Pua, keyakinan pelabur asing harus dipulihkan bagi mengelakkan kegenangan ekonomi semakin parah. Selangor diminta kehadapan membantu ekonomi Malaysia yang ramai pihak sifatkan sudah hilang arah.

“Bagaimana kita akan memulihkan kepercayaan? Kita harus berkorban kerana untuk melakukan penyempurnaan, proses secara sedikit demi sedikit tak mampu tukar pemikiran dengan cepat.” ujarnya lagi.