Kes kepala lembu ditunda esok

Monday, 26 July 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 26 Jul – Perbicaraan 12 individu yang didakwa dimahkamah kerana mencetuskan ketegangan agama melalui tunjuk perasaan ‘kepala lembu’ Ogos tahun lalu ditunda ke esok hari.

Perbicaraan mereka ditunda kerana peguam kepada tertuduh mahu berbincang terlebih dahulu dengan pasukan pendakwaraya. Peguam Datuk Salehuddin Saidin bagaimanapun enggan mendedahkan agenda perbincangan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Hasbi Hassan menetapkan perbicaraan bersambung semula esok sehingga 30 Julai 2010.

Salehuddin memohon Hakim Hasbi menunda perbicaraan hari ini tidak sampai lima minit ia bersidang.

“Kita sekarang ada ‘new development’  akan bincang dengan pihak pendakwaan. Kita tak dapat keputusan lagi. Mahkamah kata bagi kita satu hari penangguhan. Kalau ada perkembangan esok kita selesaikan. Kalau tak ada perkembangan pun akan mulakan tarikh bicara esok sehingga hari jumaat” jelas Salehuddin.

Namun beliau enggan mengulas apakah yang akan ibincangkan dengan pihak pendakwaan.

“Itu kita tak dapat nak bagi tau. Kita tak dapat bagitau sekarang dan itu atas pertimbangan, perbincangan. Nanti lah tak bolehh bincang” tambah Salehuddin.

Pengerusi jawatankuasa badan bertindak penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42, didakwa memijak kepala lembu yang mempunyai kecenderungan menghasut kerana perbuatan itu boleh menimbulkan permusuhan terhadap rakyat yang beragama Hindu.

Eyzva Ezhar pula didakwa membawa kepala lembu bersama-sama Ibrahim Sabri, manakala Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30, dan Mohd Hilmi Ni, 40, didakwa membawa dan memijak kepala lembu pada masa dan tempat yang sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi 5 ribu ringgit dan penjara maksimum tiga tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam satu perhimpunan haram di hadapan pintu 1, pagar utama di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 2.30 petang, 28 Ogos tahun lalu.

Mereka bersama enam lagi lelaki lain turut didakwa atas tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Enam lelaki lain itu terdiri daripada Jainudin@Zainudin Md. Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohammad Nordin Zakaria, 56, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md. Harun, 39, dan Azhari Shaari, 39.

Kesemuanya dituduh mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi 10 ribu ringgit dan penjara maksimum setahun jika sabit kesalahan.