Ezam desak ‘nyahkan’ Anwar dari S’gor
Monday, 26 July 2010 | Ruangan: Berita
PELABUHAN KLANG, 26 Jul – Bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Ezam Mohd Nor meminta rakyat Selangor ‘menyahkan’ ketua umum PKR itu daripada menjadi penasihat ekonomi negeri Selangor.
Ezam mendakwa ketua pembangkang itu menjadi ‘pengkhianat’ kepada negara kerana didakwa ‘menjadi alat dan perkakas kepada Yahudi’.
“Tidak pernah ada pemimpin di Malaysia yang buat kerja, sanggup jadi pengkhianat, alat dan perkakas Yahudi,” katanya dalam ceramah “Gelombang Selamatkan Selangor” di Pelabuhan Kelang malam tadi.
Dalam ucapannya, Ezam mendakwa bekas bosnya itu ‘bersekongkol
dengan Yahudi’ apabila memohon maaf selepas mengetuai lebih 10 ribu rakyat Malaysia membantah serangan Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza, pada Jun lalu.
“Di Malaysia, dia digambarkan hebat, lawan Yahudi. Di luar, dia tunduk dengan Yahudi.
“Di Kedutaan Amerika, dia serang Yahudi. Dia kata Amerika jangan bersekongkol dengan Yahudi.
“Dua minggu lepas itu, dia (Anwar) pergi ke Washington. Dia minta maaf, dia melutut… (Berita itu) keluar dalam Washington Post. Ia akhbar Yahudi yang berpengaruh,” katanya.
Kira-kira 500 orang menghadiri ceramah tersebut di padang bola berdekatan bilik gerakan UMNO di Sri Pendamar, Pelabuhan Kelang.
Selepas majlis itu berakhir, Malaysiakini mendapati petugas parti mengedarkan kepada orang ramai yang lalu lalang, satu risalah dua muka.
Risalah itu yang berupa karikatur berhubung dakwaan isu pasir yang berlaku di Selangor yang bertajuk “Kebas Sebelum Selangor Berubah” dan “Korek Selangor Sampai Berlubang” sebagai sindiran kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
KSSB adalah sebuah syarikat di bawah perbadanan Menteri Besar yang menguruskan urusan pasir di negeri itu.
Manakala satu lagi muka, tertulis “PasiR: Rompakan Pasir di Dengkil”, yang berlatarbelakangkan beberapa jentera pengorek sedang mengorek pasir. – MALAYSIAKINI

