Perlombongan KSSB terkawal, tak jejas alam sekitar
Monday, 26 July 2010 | Ruangan: BeritaKUALA LANGAT, 25 Julai – Tiada bukti yang mengesahkan dakwaan perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd di Olak Lempit, di sini, menjejaskan persekitaran Paya Indah Wetlands.
Siasatan firma perunding alam sekitar Environ Enhance Sdn Bhd mendapati pengusaha lombong terbabit telah mengambil langkah sewajarnya memastikan perlombongan dibuat secara terkawal.
Pengarah Geetha P Kumaran berkata laporan bulanan dari pemantauan berterusan keatas lombong terbabit mendapati kualiti air dan flora-faunan Paya Indah Wetlands tidak terjejas.
Beliau berkata pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan perlombongan sentiasa dalam keadaan terkawal.
Katanya, Environ Enhance mahu memperbesarkan lagi ruang sempadan antara lombong dan Paya Indah Wetlands kepada 50 meter dari jarak sedia-ada 30 meter.
Pada 11 Julai lalu Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa pasir dilombong secara haram di Kampung Bukit Changgah berhampiran dua tasik Paya Indah Wetlands.
Seorang pemuda yang mendakwa dirinya pengerusi pemuda kampung mendakwa pasir dilombong menggunakan air dari tasik berkenaan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun menunjukkan bukti bahawa tiada perlombongan dibuat di Kampung Bukit Changgah seperti yang didakwa Dr Khir Toyo dan pemuda berkenaan.
Media juga ditunjukkan bagaimana pasir dilombong menggunakan air yang dikitar semula dari kolam takungan air, dan bukan air dari Paya Indah Wetlands.
Sisa air dari perlombongan juga disalirkan kembali ke kolam takungan itu yang terletak jauh dari Paya Indah Wetlands.

