Paya Indah Wetlands tidak terjejas

Sunday, 25 July 2010 | Ruangan: Berita

Selangor , 25 Julai :  Siasatan firma perunding alam sekitar,  Environ Enhance Sdn Bhd mendapati kerja-kerja perlombongan pasir di Olak Lempit, Kuala Langat tidak menjejaskan persekitaran Paya Indah Wetlands.

Firma Perunding alam sekitar  itu mendapati  pengusaha lombong, Kumpulan Semesta Sdn Bhd telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perlombongan dibuat secara terkawal.

Pengarahnya,  Geetha P. Kumaran berkata laporan bulanan daripada  pemantauan berterusan ke atas lombong terbabit mendapati kualiti air dan flora-faunan Paya Indah Wetlands tidak terjejas

“Tiada bukti yang mengesahkan dakwaan perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd di Olak Lempit, Kuala Langat, menjejaskan persekitaran Paya Indah Wetlands.”

Beliau berkata pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan perlombongan sentiasa dalam keadaan terkawal.  Sementara  siasatan akan dibuat jika terdapat sebarang kesan dan langkah-langkah akan diambil untuk mengatasi masalah berbangkit.

Environ Enhance diminta Kerajaan Selangor untuk menjalankan Pelan Pengurusan Alam Sekitar di lombong terbabit.

Environ Enhance akan memperbesarkan lagi ruang sempadan antara lombong dan Paya Indah Wetlands kepada 50 meter dari jarak sedia-ada 30 meter.

Pada 11 Julai lalu Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa pasir dilombong secara haram di Kampung Bukit Changgah berhampiran dua tasik Paya Indah Wetlands.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun menunjukkan bukti bahawa tiada perlombongan dibuat di Kampung Bukit Changgah seperti yang didakwa Khir Toyo.

Media juga ditunjukkan bagaimana pasir dilombong menggunakan air yang dikitar semula dari kolam takungan air, dan bukan air dari Paya Indah Wetlands.

Sisa air dari perlombongan pula disalirkan kembali ke kolam takungan itu yang terletak jauh dari Paya Indah Wetlands. Tamat.