Pusat diminta ambil alih projek Hospital Shah Alam

Saturday, 24 July 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 23 Jul – Anggota  Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Kerajaan Pusat mengambil alih projek pembinaan Hospital Shah Alam dengan segera untuk memberikan kemudahan kepada warga Shah Alam.

Khalid berkata, hospital itu perlu disiapkan dengan segera setelah lama ia dalam pembinaan berikutan projek bernilai RM480 juta itu kini masih belum disiapkan seperti yang dijadual.

Katanya, hospital itu perlu disiapkan segera untuk mengelakkan tambahan perbelanjaan, tiada tender semula dan tiada pemberian tender secara rundingan langsung.

“Saya pergi ke tapak projek baru –baru ini, kerja-kerja masih tidak dijalankan seperti sepatutnya dan jumlah pekerja juga tidak ramai seperti yang sepatutnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya hai ini.

Khalid berkata, pihaknya tidak mahu diadakan tender semula terhadap projek itu kerana amalan tender semula sebenarnya tidak menyelesaikan masalah utama untuk menyiapkan hospital yang diperlukan oleh penduduk Shah Alam.

“Saya tidak mahu hospital itu ditender semula dan peruntukkan yang digunakan nanti adalah peruntukkan untuk pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) boleh menyiapkan projek itu dan merealisasikan slogan ‘utamakan pencapaian’ tanpa peruntukkan bajet tambahan.

Difahamkan, projek itu dijangka siap Jun 2010 namun ditunda sehingga Oktober depan dan setakat ini ia hanya dapat disiapkan 30 peratus sahaja.