Kontraktor orang UMNO, pembinaan kuarters MBSA terbengkalai

Saturday, 24 July 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 23 Jul – Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan kegagalan sebuah syarikat swasta dalam membina kuartes Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas menerima tender runding terus daripada kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

Projek penswastaan pembinaan kuarters di Seksyen 20 di sini adalah antara lambakan projek terbengkalai warisan pemerintahan kerajaan UMNO-BN.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 sebelum ini menyenarai projek berkenaan sebagai antara kelemahan kerajaan Selangor ketika masih diperintah UMNO- BN.

Sebuah syarikat swasta didakwa memperoleh projek tersebut secara rundingan terus dan menganggap syarikat berkenaan tidak layak kerana hanya mempunyai modal berbayar RM10  ribu sahaja.

Syarikat ini juga didakwa mencagarkan dua lot tanah milik MBSA kepada bank dengan nilai RM18.85 juta, kononnya atas alasan untuk menampung kos projek.

“Lagi teruk dari itu bila dah sangkut mereka cagarkan tanah MBSA yang sepatutnya mereka tak dibenarkan cagar,” kata Khalid.

Beliau kesal kerana pemilik majoriti syer syarikat itu adalah orang penting dalam UMNO Selangor dan individu itu langsung tidak dikenakan tindakan walaupun kepincangan ini didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Kehampaan berikutan kegagalan pembinaan kuarters ini turut dirasai pimpinan Pas Shah Alam.

“Telah pun tidak dapat melaksanakan projek ini dengan baik dan terpaksa meminta bantuan dari pihak majlis ketika itu iaitu pada 2005,” kata Timbalan Yang Dipertua Pas  Shah Alam, Azli Yusof.