Tidak merokok antara petua Ketua Bilal Masjidil Haram jaga suara
Friday, 23 July 2010 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 23 Jul – Tidak merokok merupakan antara rahsia dan
petua yang diamalkan oleh Ketua Bilal Masjidilharam, di Mekah Syeikh Ali
Al-Muolla menjaga suaranya yang merdu dan menyentuh perasaan setiap kali
mengazankan.
Beliau melalui jurubahasanya, Pengurus Besar Universiti Antarabangsa Al
Madinah (MEDIU) Bahrudin A. Rahman berkata, selain tidak merokok, makanan yang
terlalu pedas dan berlemak serta minuman sejuk perlu dielakkan bagi memelihara
suara.
“Selain itu, jangan banyak memarahi isteri,” katanya berseloroh kepada
pemberita selepas melawat MEDIU yang terletak di Plaza Massalam, Seksyen 9 di
sini hari ini.
Syeikh Ali, 54, juga berkata beliau mendapati ada bilal di negara ini
yang merokok sepanjang kunjungannya bersama keluarga ke Malaysia.
Semasa lawatan ini, beliau turut meluangkan masa mengazan dan menunaikan
solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Bercerita mengenai tugasan bilal pada zaman dahulu dan sekarang, Syeikh Ali
berkata sebelum zaman kemajuan teknologi yang mempunyai pembesar suara, bilal
Masjidilharam akan mengazan berganti-ganti di enam menara masjid itu.
“Sebab itulah, bilal pada zaman dahulu dipilih berdasarkan mereka yang
mempunyai suara yang kuat,” katanya sambil menambah pada ketika itu ada
kira-kira 24 orang bilal berbanding kini 14 orang.
Mengenai perbezaan cara mengazan, Syeikh Ali berkata biasanya di Mekah bilal
mengazan dengan menggunakan suara yang kuat dan jelas manakala di Madinah bilal
lebih gemar bermain dengan lenggok dan lagu ketika mengazan.
Sementara itu, MEDIU yang dibuka pada 2007 menawarkan pengajian secara maya
dan mempunyai penuntut dari serata dunia merangkumi kursus peringkat Sarjana
Muda dan Sarjana Muda Ilmu-ilmu Sains Islam, Bahasa Arab dan Teknologi Maklumat.
Pengerusi Majlis MEDIU ialah Putera Dr Bandar Salman Muhammad Al
Saud yang juga merupakan Penasihat kepada dua Masjid Suci itu.
Anggota Majlis universiti itu terdiri daripada Imam dan Jurucakap Masjid
Nabawi Dr Abdul Bari Awwadh Al Thubaiti dan Ketua Setiausaha Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Dr Zulkifli A. Hassan. -BERNAMA

