MB serah sumbangan kepada balu Setiausaha AMK Pusat

Friday, 23 July 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 23 Jul – Menteri Besar, Tan Sri  Abdul Khalid Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan balu Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Hasmuzair Hassan, 33, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Subang pada 17 Julai lalu.

Pada majlis minum petang dengan Nazylinda Abdullah, 29, di Pejabat Menteri Besar di tingkat 21 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SAAS) di sini, semalam,  Menteri Besar  menasihatkan Nazylinda supaya bersabar dan menerima kejadian ini dengan reda.

Menteri Besar juga akan meminta pertolongan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk membantu Nazylinda mendapatkan pekerjaan di negeri kelahirannya di Kedah.

Beliau berkata, ketiga-tiga anak Nazylinda lahir dan didaftarkan di Kedah dan sudah tentu layak  menerima bantuan dari Kerajaan Negeri Kedah.

Menteri Besar berkata, pemergian Allahyarham Hasmuzair akan dirasai oleh Nazylinda dan tiga anak mereka malah parti juga kehilangan seorang penjuang reformasi yang begitu komited terhadap tanggung jawab yang diamanahkan.

Selain bertanya khabar dan berkongsi kesedihan, Menteri Besar juga telah menyerahkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban Nazylinda dan sebagai tanda ingatan Kerajaan Negeri Selangor.

Hadir sama, Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.