Keputusan kes rayuan Abdul Kudus 27 Ogos
Friday, 23 July 2010 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 23 Jul – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Ogos ini untuk keputusan rayuan bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad berhubung sabitan dan hukuman penjara 11 tahun dan denda yang dikenakan terhadapnya berkaitan 24 pertuduhan
meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah restoran.
Hakim Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai mengemukakan hujahan lanjut masing-masing.
Katanya beliau memerlukan masa untuk meneliti hujahan dengan lebih lanjut sebelum membuat keputusan.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah hadir bagi pihak responden manakala Abdul Kudus diwakili peguam Afifuddin Hafifi.
Antara isu yang dibangkitkan dalam hujahan hari ini ialah mengenai percanggahan keterangan yang diberikan beberapa saksi pendakwaan semasa perbicaraan termasuk keterangan pemilik restoran Sri Steven’s Corner, Steven @
S. Sathiasilan.
Abdul Kudus, 47, juga mendakwa Hakim Mahkamah Sesyen Ampang telah terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang dan memohon agar keputusan yang dibuat oleh hakim itu diketepikan.
Pada 30 Jun tahun lepas, hakim Mahkamah Sesyen Ampang Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 terhadap Abdul Kudus selepas didapati bersalah terhadap 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.
Abdul Kudus juga boleh dipenjara selama 17 tahun jika gagal membayar denda itu.
Dia didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada Sathiasilan antara Mei 2001 dan Mei 2004 di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Hakim Noradidah bagaimanapun membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara Abdul Kudus mengemukakan rayuan tetapi wang jaminan dinaikkan daripada RM80,000 kepada RM150,000.
Perbicaraan kes yang mengambil masa hampir enam tahun bermula 9 Ogos 2003 itu melibatkan 11 orang saksi pendakwaan dan 12 orang saksi pembelaan. Antara yang memberi keterangan ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M. Kayveas. – BERNAMA

