Kursus pendawaian elektrik di INSPENS diiktiraf Suruhanjaya Tenaga

Tuesday, 20 July 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 19 Jul- Presiden INPENS International College Datuk Mohd Mydin Mohd Shariff hari ini berkata kursus kemahiran iaitu Pendawaian Elektrik dan Penjaga Jentera Elektrik Talian Atas yang ditawar pusat pengajian

itu mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Tenaga.

INPENS juga mengendalikan Kursus Penghawa Dingin dan Pembekuan Tahap 1 dan Tahap 2 yang diikhtiraf oleh Kementerian Sumber Manusia, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya dengan itu perpindahan pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap ke INPENS tidak akan menjejaskan terma dan syarat yang telah ditawarkan dan mereka juga tidak akan dikenakan kos tambahan.

“Dengan kenyataan ini pihak Yayasan Selangor dan INPENS berharap dapat melegakan  perasaan resah dan kebimbangan semua pihak lebih-lebih lagi para ibu bapa dan pelatih akan masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata malah pelatih IKYS yang berjaya dan lulus pada tahap PW4 (Kursus  Pendawaian FASA 3) boleh meneruskan ke pengajian yang lebih tinggi di INPENS.

Sementara itu Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki dalam satu kenyataan  berkata keputusan bagi semua pelatih dan program IKYS diserapkan dan digabungkan ke INPENS dibuat pada mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor ke-85.

Beliau berkata dakwaan INPENS hanya mengendalikan kursus profesional dan tiada kursus kemahiran adalah tidak benar.

Katanya penyerapan atau penggabungan itu tidak akan menjejaskan pelaksanaan pengajian dan  pentauliahan sijil serta kursus seperti yang ditawarkan kepada para pelatih IKYS sebelum ini.

Penyerapan itu juga tidak akan menjejaskan kemudahan pinjaman  Yayasan Selangor yang ditawarkan kepada para pelatih dan kos pengajian, penginapan serta peperiksaan pelatih di tempat baru, katanya.

“Untuk pengetahuan semua, kursus-kursus profesional yang pernah dikendalikan oleh  INPENS telah diserahkan sepenuhnya kepada Unisel (Universiti Industri Selangor) pada  April 2007 dan semenjak itu INPENS hanya mengendalikan kursus-kursus vokasional dan  kemahiran,” katanya.

Semalam, lebih 200 pelajar IKYS melahirkan kebimbangan  mengenai masa depan mereka selepas operasi IKYS ditutup dan mereka dipindahkan ke INPENS. Antara kebimbangan mereka ialah sama ada kursus kemahiran di INPENS mendapat pentauliahan Suruhanjaya Tenaga dan sama ada status pinjaman pendidikan mereka diteruskan atau akan berubah. – BERNAMA