Kos Penyelenggaraan Proton Perdana Terlampau Tinggi
Monday, 19 January 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 18 Januari – Keputusan meneruskan pembelian Toyota Camry seperti yang dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini dibuat dengan mengambil kira faktor antaranya penyelenggaraan kereta Proton Perdana yang terlampau tinggi.
Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata dengan kos penyelenggaraan sebanyak RM694,735.55 daripada 2006 sehingga November 2008, kerajaan negeri membuat keputusan membeli 15 unit kereta Toyota Camry 2.4 yang keseluruhannya berjumlah RM2.35 juta.
Bagi setiap unit yang berharga RM157,074.89 itu, kerajaan negeri memperoleh diskaun sebanyak RM10,000.00 sebuah serta diberikan jaminan selama tiga tahun oleh pihak Toyota.
“Kerajaan negeri berharap dengan penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar. Setiap keputusan yang dibuat, telah mengambil kira semua faktor dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dengan telus, ikhlas dan amanah,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Menteri Besar turut menjelaskan mengenai kelewatan penyaluran dana untuk program bantuan khas kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.
Kata kenyataan itu bantuan yang sepatutnya tiba ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) lewat tahun lalu mengalami sedikit masalah teknikal.
“Walau bagaimanapun Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor hari ini telah dimaklumkan bahawa kesemua dana terbabit telah pun sampai ke MPAJ,” katanya.
Pihak MPAJ juga sudah bersedia untuk menyalurkan setiap dana yang telah diperuntukkan dan telah menerima arahan daripada kerajaan negeri Selangor supaya memproses semua permohonan secepatnya.
Menurut kenyataan itu lagi bantuan-bantuan utama yang akan disalurkan sebelum perayaan Tahun Baru Cina nanti diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban setiap mangsa yang terlibat. – NOOR ALLIA KASSIM

