Inkues: Beng Hock tak diliwat tapi tertusuk tulang

Wednesday, 10 March 2010 | Ruangan: Berita

teohSHAH ALAM, 10 Mac – Inkues bagi menyiasat punca kematian pegawai politik kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock bersambung semula pada jam 10 pagi tadi.

Perbicaraan bermula dengan ketua pendakwa dan bahagian perundangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa menyoal Dr Shahidan Md Noor.

Dr Shahidan adalah ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua dan sebelum ini dilaporkan berkata tidak mungkin Beng Hock dipukul atau dijerut sebelum jatuh.

Menjawab soalan daripada Abdul Razak, Shahidan berkata kesan-kesan garisan merah di leher mangsa tidak selaras dengan sebab kematian Beng Hock.

“Terdapat kesan lebam di leher tetapi tidak ada kesan asphyxia.

“Mungkin terdapat tekanan yang digunakan (di bahagian leher). Bagaimanapun tanda-tanda garisan merah itu di leher tidak menyebabkan kematian  Beng Hock.”
Shahidan juga berkata kecederaan di kawasan dubur Beng Hock bukan akibat diliwat tetapi disebabkan kecederaan akibat terjatuh.

“Kawasan tulang pinggul retak sebelum patah semasa dia jatuh dan akibat itu ia tertusuk di belakang.”
Shahidan juga berpendapat tiada kesan kecederaan menunjukkan Beng Hock dipukul.

“Kecederaan adalah selaras dengan kejatuhan,” katanya lagi. – MALAYSIAKINI