Gangguan air di Petaling 11, 17 Mac
Wednesday, 10 March 2010 | Ruangan: BeritaKUALA LUMPUR 10 Mac – Gangguan bekalan air sementara dijadualkan berlaku di beberapa kawasan di sekitar kawasan Petaling antara esok (11) dan 17 Mac untuk membolehkan kerja-kerja penggantian paip kecemasan dan pengalihan paip dijalankan.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) dalam satu kenyataan di sini memberitahu, sepanjang pelaksanaan kerja-kerja tersebut, dua gangguan dijadualkan berlaku.
Antara kawasan-kawasan yang terlibat pada 11 Mac dari jam 9 malam hingga 5 pagi keesokan harinya adalah keseluruhan kawasan Serdang, keseluruhan kawasan Seri Kembangan dan Astro.
Kawasan-kawasan yang terlibat pada 16 Mac, pukul 9 malam hingga 5 pagi keesokan harinya adalah keseluruhan kawasan Kampung Merbau Sempak, Kampung Kubu Gajah, Kampung Paya Jaras, Kampung Sungai Plong dan Bandar Baru Sungai Buloh.
Turut terjejas ialah Subang Suria (U5), Penjara Sungai Buloh, Desa Moccis, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor, Jalan Hospital Kusta, Sierra Mas, Kampung Melayu Sungai Buloh, SB Jaya Sungai Buloh dan keseluruhan Saujana Utama.
Sehubungan itu, SYABAS menasihatkan para pengguna agar menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan tersebut.
Untuk keterangan lanjut para pengguna boleh menghubungi talian bebas tol Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di 1-800-88-5252, SMS ke 39222 atau layari laman web SYABAS di www.syabas. com.my.



