MBSA ajur pertandingan Bercerita Sirah Rasul

Wednesday, 10 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 10 Mac  – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan Pertandingan Bercerita Sirah-Sirah Rasul bertempat di Ruang Legar Kompleks PKNS di sini pada 28 Mac depan.

Pertandingan Bercerita Sirah-Sirah Rasul ini diadakan bagi melestarikan semangat silaturahim dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat sekitar Lembah Klang khususnya di bandar raya Shah Alam.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, penganjuran pertandingan ini mampu memberi hiburan santai dan menyampaikan mesej secara ilmiah dan menimbulkan kecintaan tinggi terhadap moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat khususnya kepada golongan pelajar.

“Pertandingan terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah rendah sekitar Lembah Klang yang berumur dari 7 hingga 12 tahun dan dua kategori akan diadakan iaitu kategori untuk Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris.

“Tajuk cerita adalah berhubung dengan kehidupan dan pengajaran para rasul dalam menegakkan syiar agama Islam manakalan masa untuk bercerita adalah selama 5 minit,” katanya.

Menurutnya, pihak MBSA menyediakan wang tunai keseluruhan berjumlah RM1,000 untuk dimenangi oleh para peserta dan pemenang setiap kategori akan menerima hadiah di tempat pertama bernilai RM200, tempat kedua RM150 manakala tempat ketiga ialah RM100.

“Borang penyertaan boleh didapati di kaunter Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, MBSA atau hubungi Masrurah di talian 03-55222738 atau Hana di talian 03-55222740.

“Penyertaan adalah percuma dan tidak dikenakan sebarang bayaran dan pihak MBSA menjemput para pelajar sekolah rendah sekitar Lembah Klang untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.