Tanggung kos guaman penduduk

Monday, 08 March 2010 | Ruangan: Berita

khalid-nn1HULU KLANG, 6 Mac – Kerajaan negeri bersedia membiayai kos guaman yang akan diambil oleh penduduk Bukit Antarabangsa untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah bagi menentukan siapa yang perlu menerima atau membayar pampasan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, satu kumpulan jawatankuasa yang ditubuhkan akan melantik satu peguam bagi membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Katanya, tindakan tersebut dibuat sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap penduduk yang kehilangan hartanah akibat tanah runtuh yang berlaku dua tahun lalu.

Abdul Khalid berkata, beliau turut mendengar rintihan dan cadangan daripada beberapa penduduk Bukit Antarabangsa agar tragedi tanah runtuh tidak lagi berulang.

“Saya berjanji dengan penduduk di Bukit Antarabangsa jika ada tanah kelas tiga atau empat yang tidak boleh dibangunkan, Kerajaan Negeri akan menggazet tanah tersebut agar ia tidak dapat digunakan untuk pembangunan, tanah tersebut juga akan dipantau oleh MPAJ,” katanya.

Katanya, MPAJ juga telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan yang cekap dengan kadar yang kerap di seluruh kawasan berbukit di sini.

Menurut Abdul Khalid, aspek perparitan, pokok-pokok, semua cerun sama ada buatan atau semula jadi, aliran air, batuan serta hakisan yang ada perlu diteliti kerana lazimnya kejadian bencana bermula dengan semua masalah-masalah kecil yang terkumpul dan tidak ditangani dari awal.

Abdul Khalid berkata, beliau difahamkan di kawasan MPAJ terdapat 28 kawasan cerun yang kritikal daripada kira-kira 600 kawasan cerun yang dalam pemantauan daripada pihak MPAJ.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Disember tahun 2008 di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang itu menyaksikan empat nyawa terkorban, 15 cedera dan 14 buah banglo ranap.

Berikutan itu, satu siasatan dilakukan sebelum laporannya disediakan oleh jawatankuasa teknikal yang diketuai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama 11 agensi lain.

Laporan itu menyebut sistem saliran yang rosak dan paip bocor dikenal pasti sebagai faktor utama menyumbang kepada tragedi tanah runtuh tersebut.

Laporan Muktamad Siasatan Tanah Runtuh itu telah membuat rumusan bahawa saluran paip air yang bocor berhampiran rumah kosong sepanjang Jalan Wangsa 11 tidak jauh dari kawasan tanah runtuh menyumbang kepada tekanan air resapan tinggi di lereng bukit berkenaan.

Terdahulu Khalid mengadakan perjumpaan bersama Penduduk Wangsa Heights dan Dataran Ukay serta melancarkan Buku Tatacara Mendiami Kawasan Bercerun.

Mengulas mengenai buku tersebut, ia diterbitkan MPAJ untuk keperluan penduduk yang mendiami kawasan bercerun.

Buku yang diterbitkan itu adalah sebagai panduan serta rujukan supaya dapat mempermudah penduduk memahami isu dan peranan mereka untuk bersama memastikan dan menangani masalah tersebut lebih awal serta mengelak berlakunya kehilangan nyawa.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan Yang Dipertua MPAJ, Datuk Mohamad Yacob.

Sementara itu, Jurutera MPAJ, Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi berkata, majlis itu merupakan salah satu program kesedaran tentang cerun.

“Program ini bertujuan memberi maklumat asas berkaitan cerun kepada penduduk khususnya penduduk yang tinggal di kawasan cerun,” katanya.

Tambahnya,‘Coalition Of Bukit Antarabangsa Residence Associations’ (CoBARA) menjalinkan hubungan yang baik dengan MPAJ dalam masalah-masalah yang timbul di kawasan Bukit Antarabangsa ini.

“Banyak kerja pembaikan telah dilaksanakan oleh MPAJ hasil daripada jalinan kerjasama yang baik itu, diharapkan persatuan-persatuan penduduk yang lain dapat menjadikan CoBARA sebagai contoh kerjasama dua hala yang baik di antara MPAJ dan penduduk kawasan,” katanya.

Katanya lagi, MPAJ telah menubuhkan Unit Cerun dengan bantuan kepakaran yang disalurkan daripada agensi-agensi yang lain.