Konvensyen PR: Selangor catat pelaburan RM6.76B

Sunday, 07 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM 5 Mac – Selangor mencatatkan perkembangan ekonomi dan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan ketika negara dilanda kegawatan.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Teresa Kok berkata, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia melaporkan pelaburan perindustrian di Selangor kekal mantap dan terus kukuh.

“Mengikut statistik MIDA, setakat 31 Disember 2009, Selangor mencapai pelaburan perindustrian yang bernilai sebanyak RM6.76 bilion. Angka ini telah melebihi jangkaan RM4 bilion yang disasarkan oleh kerajaan negeri  pada awal tahun 2009 selepas berlakunya kegawatan ekonomi dunia”

“Walaupun Selangor berada dalam kedudukan nombor 2 dari segi nilai pelaburan di seluruh Malaysia, yang mana kurang daripada Sarawak, kita mempunyai jumlah projek perindustrian yang tertinggi, iaitu 278 projek pelaburan di seluruh Malaysia. Angka ini bermaksud kita mendapat 36.3% atau satu pertiga daripada jumlah projek pelaburan di seluruh Malaysia”

Perangkaan MIDA ini tidak termasuk sektor perkhidmatan seperti perhotelan, perubatan, pendidikan dan logistik.

Sekiranya angka pelaburan semua sektor diambil kira, maka unjuran pelaburan MIDA untuk Selangor akan lebih tinggi.

“Selain itu, 278 projek pelaburan perindustrian ini juga mendatangkan peluang pekerjaan yang paling tinggi, iaitu lebih 20,000 di peluang pekerjaan Malaysia.”

“Begitu juga dengan tahun 2008, negeri Selangor telah mencatat bilangan projek pelaburan dan jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi di seluruh Negara, iaitu 302 projek pelaburan dan 30,980 peluang pekerjaan pada tahun 2008”

Teresa berkata, Selangor telah menyumbang 21 – 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia. Lebih memberangsangkan, pertumbuhan ekonomi Selangor selalunya lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Perangkaan ini juga menafikan tuduhan palsu yang mengatakan pelaburan di Selangor telah jatuh di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.