Pertandingan tulis artikel sempena ulang tahun Shah Alam

Friday, 05 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Pertandingan Menulis Artikel bertemakan Shah Alam-Bandarayaku sempena Ulang Tahun Ke-10 Shah Alam diisytiharkan bandar raya.

Pertandingan ini terbuka kepada rakyat Malaysia dan juga bukan warga negara Malaysia yang mempunyai pengalaman dan ingin berkongsi maklumat atau keindahan di bandar raya ini.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, penceritaan atau penulisan artikel ini perlu mempunyai unsur seperti berikut antaranya menceritakan pengalaman atau nostalgia yang tidak dapat dilupakan semasa berada di Shah Alam.

“Peserta juga boleh menceritakan keindahan tempat yang menarik di Shah Alam yang boleh dikongsi bersama untuk tatapan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, artikel boleh ditulis dalam dwi-bahasa iaitu sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris sepanjang 500 hingga 800 patah perkataan.

“Penyertaan akan dinilai mengikut beberapa kategori berdasarkan kepada elemen seperti isi, bahasa, gaya penulisan dan gambar atau ilustrasi,” katanya.

Tempat pertama berupa wang tunai RM2,000 dan plak, tempat kedua RM1,500 dan plak, tempat ketiga RM1,000 dan plak manakala sagu hati sebanyak tujuh peserta berupa wang tunai RM50 dan sijil penghargaan.