Syabas gantung lesen kontraktor
Friday, 05 March 2010 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 5 Mac – Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menggantung lesen 85 kontraktor yang tidak memiliki atau gagal memperbaharui permit yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melakukan kerja penyelenggaraan air di Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Syabas Datuk Ruslan Hassan berkata keputusan penggantungan itu dibuat kelmarin berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (WSIA).
“Terdapat 184 kontraktor Syabas yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan air tetapi 85 daripadanya didapati tidak memiliki permit SPAN,” katanya
“Ini peruntukan undang-undang dalam Akta WSIA yang memerlukan mana-mana pihak yang mahu mengambil bahagian dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan industri air memerlukan permit SPAN.
“Awal tahun lepas, saya telah mengingatkan kontraktor-kontraktor supaya cepat membuat permohonan terus kepada SPAN kerana saya menjangkakan SPAN juga mengambil masa untuk memproses permohonan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertemuan Kontraktor-Kontraktor Syabas dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kursus Pengurusan dan Kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada 62 kontraktor SYABAS bagi tahun 2009.
Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SA Convention Centre) itu turut dihadiri Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Hamzah Hasan serta pegawai kanan SYABAS.
Ruslan berkata, mengikut semakan yang dibuat dengan SPAN ada di antara kontraktor sudah membuat permohonan malah telah mendapat kelulusan tetapi belum membuat pembayaran untuk menuntut permit berkenaan.
Beliau berkata, ada juga kontraktor yang tidak memperbaharui permit sedia ada sehingga menyebabkan mereka juga dikenakan tindakan gantung lesen dari melakukan kerja penyelenggaraan air.
“Bagi Kontraktor Kelas D, yuran yang dikenakan oleh SPAN sebanyak RM900 untuk mendapatkan sijil tersebut untuk tempoh setahun dan permit berkenaan siap dalam masa kira-kira sebulan.
“Bermula 3 Mac Syabas terpaksa menggantung keahlian sehingga mereka menunjukkan kad membuktikan dia sudah dapat sijil. Kita sudah mengkaji keperluan jumlah kontraktor yang kita perlukan dan di mana ada kekurangan kita akan tampung dengan kakitangan Syabas,” katanya. – SINAR HARIAN

