Selangor tubuh jawatankuasa perangi penderaan

Thursday, 04 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 4 Mac – Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menangani masalah penderaan kanak-kanak yang dilihat semakin menular dalam masyarakat kini.
Jawatankuasa daerah itu melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengkaji status gejala sosial di daerah masing-masing melalui maklumat dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampnung (JKKK) dan pemimpin setempat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial negeri, Dr Halimah Ali, inisiatif penubuhan jawatankuasa ini timbul akibat daripada sistem sosial yang semakin rosak dan sikap ‘sudah terhantuk baru terngadah’ dalam kalangan masyarakat.
“Pemerintah dan pimpinan juga harus proaktif memainkan peranannya. Saya mengharap JKKK, pihak pengurusan masjid, surau, ketua-ketua komuniti, NGO, institusi pendidikan memainkan peranan masing-masing.
“Gerak kerja sepadu antara pelbagai agensi kerajaan mahupun pimpinan tempatan, NGO, sekolah, institusi keagamaan, ibu bapa serta remaja dan belia sendiri untuk mencegah, mencelah awal serta proses rehabilitasi dan bimbingan untuk dapat sumber pendapatan halal,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, media massa memainkan peranan penting dalam usaha menonjolkan sistem nilai kepada masyarakat kerana medai dapat memberikan impak besar kepada seseorang.
“Kita tidak boleh hanya menumpukan perhatian kepada laporan dramatik yang sensasi sahaja tanpa membedah siasat punca-punca sebenar serta mengenalpasti faktor pendorong.
“Yang nampak kanak-kanak didera sampai mati. Punca dera dan bunuhnya apa? Punca menjadi si pendera dan pembunuh apa? Berapa lama dibiar dan seolah-olah direstui? Siapa yang mempunyai pengaruh dalam hidup si pendera dan pembunuh?” katanya.
Katanya, malang bagi kanak-kanak apabila tidak ramai yang benar-benar mahu memainkan peranan berkesan untuk mencegah dan mengatasi masalah ini.
Sehubungan itu, Halimah meminta, Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dauk Seri Najib Abdul Razak mengambil langkah serius dalam menangani masalah sistem kepincangan kemasyarakatan ini.