Bayar tunggakan sewa cara baru
Thursday, 04 March 2010 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 4 Mac – Kerajaan Negeri selesai menyiapkan garis panduan pelaksanaan kerja-kerja khidmat masyarakat oleh penyewa-penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai cara untuk melunaskan atau membayar sewa yang tertunggak.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, ia merupakan program perintis yang akan dilaksanakan di PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang mulai 1 April ini melibatkan penyewa yang mempunyai tunggakan melebihi RM3,500 pada 31 Disember 2009.
Menurutnya, hampir 3,000 yang berhutang tetapi yang terlibat dalam program ini lebih kecil, mereka yang tidak termasuk dalam kumpulan ini perlu membayar tunggakan mereka seperti biasa.
“Syarat-syarat untuk menyertai skim ini adalah seperti berpendapatan kurang dari RM720 sebulan, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU). Kerja-kerja khidmat komuniti yang akan ditawarkan adalah mengendali atau menguruskan pusat penerangan dan aduan setempat.
“Selain itu, pemantauan kejiranan atau ‘neighourhood watch’, mengendalikan kelas kemahiran atau pendidikan kepada penduduk dan Program Pengawasan Harta Awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, semalam.
PPR yang terlibat adalah Kota Damansara, Lembah Jaya, Kampung Baru Hicom dan Serendah.
Iskandar berkata, peserta boleh memilih jenis khidmat yang mereka mahu sertai dan boleh memilih waktu yang mereka hendak berkhidmat kecuali pengendalian kelas kemahiran atau pendidikan, terdapat empat syif untuk dipilih, Setiap syif diperuntukan selama empat jam.
Beliau berkata, mereka perlu menjalankan khidmat ini sebanyak tiga syif bagi melunaskan sewa untuk sebulan dan seterusnya.
“Kerajaan Negeri berharap program ini akan dapat mendidik rakyat supaya bertanggungjawab di samping dapat meningkatkan aktiviti komuniti di PPR tersebut. Kita akan tengok program ini dalam masa enam bulan. Sekiranya berjaya, ia akan dikembangkan ke PPR lain.
“Untuk pengetahuan umum, sehingga hari ini tunggakan sewa empat PPR melebihi RM4.2juta. Tolakan hutang bagi penyewa yang melakukan khidmat masyarakat berdasarkan rekod tunggakan, tempohnya mengikut tunggakan penyewa,” katanya.
Beliau berkata, kelonggaran diberikan kepada mereka untuk memilih syif sama ada dilakukan pada hari cuti atau selepas waktu kerja. – SINAR HARIAN

