UiTM tarik balik kemudahan jika ingkar

Wednesday, 03 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 2 Mac  – Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) menetapkan dasar iaitu pelajar yang diberi kemudahan penginapan di kolej kediaman tidak dibenarkan membawa kenderaan kecuali motosikal di bawah 100cc sahaja.

Penolong Naib Canselor UiTM, Profesor Madya Ahmad Redzuan Abdul Rahman berkata, bagi pelajar yang tinggal di Kolej Meranti mereka juga tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh universiti di mana pelajar yang diberikan penginapan kolej kediaman tidak dibenarkan membawa kenderaan.

“Jika didapati pelajar yang diberikan kemudahan kolej dan masih membawa kenderaan seterusnya meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga mengganggu penduduk-penduduk sekitar, tindakan boleh dikenakan dengan menarik balik kemudahan penginapan kolej yang diberikan.

“Bagi memastikan pelajar yang diberikan kemudahan kolej tidak membawa kenderaan, pihak kolej telah memaklumkan perkara tersebut melalui taklimat pengetua kolej yang diadakan pada setiap awal semester dan juga pemasangan banting di pintu masuk kolej kediaman,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan akhbar Sinar Harian yang melaporkan aduan penduduk dibelenggu masalah parkir yang terhad berikutan terpaksa berkongsi dengan pelajar UiTM yang tinggal di Kolej Meranti.

“Pihak UiTM berterima kasih kepada akhbar Sinar Harian yang mengutarakan isu berkaitan masalah tempat letak kereta di sekitar Jalan Bunga Tanjung 2/16.

“Berhampiran jalan tersebut terletaknya Asrama Kolej Meranti UiTM yang menempatkan ratusan pelajar,” katanya.

Menurutnya, pelajar yang tidak tinggal di asrama adalah dibenarkan membawa kenderaan dengan mendapatkan pelekat khas daripada pihak Unit Keselamatan UiTM bagi mendapatkan kebenaran masuk ke dalam kampus dan disediakan parkir di tempat yang dikhaskan untuk pelajar iaitu di kawasan padang kawad.

“Pelajar akan menaiki bas yang ditetapkan untuk pergi ke kuliah masing- masing,” katanya.

Beliau berkata pihak Keselamatan dan Pegawai Pembangunan Pelajar akan membuat pemantauan bagi memastikan tiada pelajar melanggar peraturan yang ditetapkan. – Sinar Harian