MB saksi perjanjian kerjasama strategik I-City, PKNS dan Plug and Play
Tuesday, 02 March 2010 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyaksikan perjanjian kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), I-City dan Lembah Silikon Plug and Playtech bagi membangunkan program kampus usahawan.
Perjanjian itu bagi membolehkan tiga pihak terbabit membentuk kerja sama untuk membangunkan Pusat Inkubator i-City Play and Playtech dengan hasrat membawa usahawan teknologi tinggi tempatan menjadi syarikat teknologi tinggi bertaraf antarabangsa.
PKNS diwakili Pengurus Besar Encik Othman Omar manakala Plug & Play diwakili presiden dan ketua eksekutif (CEO), Saeed Hamidi manakala I-City diwakili oleh ketua eksekutifnya, Encik Eu Hong Chew.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Plug and Playtech yang mempunyai kepakaran untuk membangunkan inkubator ini. Selangor sekarang mempunyai platform untuk menolong usahawan teknologi di Selangor supaya dapat bersaing diperingkat antarabangsa,” kata Abdul Khalid.
Beliau berkata, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu turut berminat melabur dalam syarikat berteknologi tinggi tempatan yang menjadi jambatan untuk syarikat itu memasuki pasaran Amerika Syarikat.
Beliau berkata, syarikat tempatan juga berpeluang untuk bekerjasama dengan syarikat berteknologi tinggi yang beroperasi di Lembah Silikon Plug and Play untuk memasarkan produk dan perkhidmatan di pasaran tempatan dan rantau ini.
CEO Plug&Play, Saed Hamidi berkata beliau teruja dengan kerjasama bersama i-City dan kerajaan Negeri Selangor kerana ia memberi peluang untuk menolong usahawan muda di Malaysia.
“Kami telah menolong lebih 500 usahawan di Silicon Valley berjaya dalam perniagaan mereka. Syarikat seperti Google dan PayPal telah memulakan operasi mereka dengan Plug&Play dan kami berharap akan mendapat kejayaan sebegitu disini,” kata Saeed selepas upacara menandatangani hari ini.
Perjanjian kerjasama hari ini menjadi kayu pengukur kepada satu jalinan pakatan yang strategik. Kerajaan Selangor mengambil inisiatif untuk melabur RM50 juta dalam syarikat berteknologi tinggi dengan penyertaan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec) dan usahawan berteknologi tempatan.

