Kerajaan Negeri sentiasa ambil berat kebajikan rakyat

Monday, 01 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 1 Mac – Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

Pada Tahun Baharu Cina 2010 kali ini pelbagai pihak merayakannya bersama kaum-kaum lain dalam suasana muhibah, tidak dilupakan kepada mereka yang tidak berkemampuan khususnya ibu tunggal dan warga emas.

Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis)  turut tidak melepaskan peluang ini dengan menganjurkan program mesra rakyat bagi meraikan kira-kira 500 warga emas termasuk ibu tunggal dari 10 kawasan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Antaranya DUN Meru, Sg Pinang, Batu Tiga, Kota Anggerik, Kota Raja, Pandamaran, Sri Andalas, Kota Alam Shah, Pelabuhan Klang dan Sri Muda.

Menurut Pengerusi  Perkawanis, Puan Sri Salbiah Tunut, pada tahun ini Pekawanis bermurah hati menambah jumlah bantuan kebajikannya kepada 1,799 orang berbanding tahun lalu sebanyak 220 penerima.

“Pihak Pekawanis tahun ini telah menambahkan bilangan sumbangan daripada kalangan kaum Tionghua, pada tahun lepas kami dapat memberi sumbangan kepada 220 penerima sahaja, tapi bagi tahun ini pihak Pekawanis dapat menyampaikan sumbangan kepada 1,799 penerima daripada kaum Tionghua”, kata  Salbiah yang ditemui pada Program Mesra Rakyat di Dewan Jubli Perak di sini baru-baru ini.

Usaha ini adalah sejajar dengan agenda kerajaan negeri dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor, diharapkan bantuan berbentuk barangan keperluan harian dapat menceriakan kaum Tionghua khususnya mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

“Tahun ini kami cuba membantu keluarga dari segi bilangan keluarga ibu-ibu tunggal iaitu dalam kalangan pelajar-pelajar ataupun anak-anak yang memerlukan tuisyen rakyat ataupun bantuan untuk meningkatkan akademik bolehlah memohon bantuan dari pejabat-pejabat Dun masing-masing ataupun boleh diajukan terus kepada Pekawanis untuk tindakan segera”, kata Salbiah.