AMK pertahan Kerajaan Negeri dalam isu air

Monday, 01 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 1 Mac – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor tegas mempertahankan pendirian Kerajaan Negeri berhubung tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membawa kes ke mahkamah setelah tuntutan kenaikan tarif air ditolak.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, AMK Selangor akan menuntut dan mendesak Syabas agar mengutamakan rakyat dan memikirkan kebajikan rakyat sebelum menaikkan tarif air.

“Tindakan Kerajaan Negeri menolak tuntutan ini jelas menggambarkan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat yang perlu diutamakan.

“AMK Selangor memuji tindakan bijak dan prihatin Kerajaan Negeri dalam isu ini dan tidak sekali-kali akan berkompromi mahu pun tunduk demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya menerusi kenyataan media.

Terdahulu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan Syabas mendesak supaya harga air dinaikkan 30 peratus pada tahun lalu, namun tuntutan itu ditolak oleh Kerajaan Negeri.

Menurut Ezli, tindakan Syabas untuk menaikkan tarif air ini membuatkan AMK Selangor tampil mempertahankan pendirian Kerajaan Negeri yang komited mempertahankan kebajikan rakyat.

“Tindakan Syabas menaikkan tarif air akan membebankan pengguna sedangkan perkembangan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya.

“Apatah lagi pada masa yang sama, ura-ura kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta perlaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang masih dipertikaikan, akan dilaksanakan kelak,” katanya.

Tambahnya, AMK Selangor akan terus memberikan sokongan terhadap kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri menyelesaikan isu air di Selangor, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Kita mahu rakyat Selangor menikmati kualiti hidup yang baik serta mendapat mutu serta kualiti perkhidmatan bekalan air pada tahap terbaik dan pada harga yang rendah.

“AMK Selangor juga ingin mengulangi desakan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan semula aset air dan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri,” katanya.