Selangor giat usaha jadi terbaik

Monday, 01 March 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM , 1 Mac – Kerajaan Negeri Selangor sedang mempergiatkan usaha menunaikan janji menjadikan negeri ini sebagai negeri terbaik dari segi pembangunan di Malaysia.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) mengarahkan beliau membuktikan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran PR adalah yang terbaik berbanding 50 tahun pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di negeri ini.

“Sempena sambutan Pesta Chap Goh Mei di mana masyarakat Cina atau disebut juga sebagai masa menetapkan perjanjian dan azam baru, Kerajaan Negeri juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama membuat azam.

“Azam baru kita ialah membawa negeri ini menjadi negeri termaju dari segi pembangunan di Malaysia,” katanya sewaktu ucapan perasmian Pesta Chap Goh Mei bersempena Sambutan Tahun Baru Cina 2010 di I-City di sini, kelmarin.

Abdul Khalid berkata, Selangor adalah hak bersama rakyat di negeri itu dan rakyat berhak ke atas sumber kekayaan negeri.

“Selangor adalah untuk kita semua dan kita akan berusaha supaya tidak ada penyelewengan, rasuah atau ada usaha yang melambatkan keputusan kepada rakyat.

“Misalnya, Program Merakyatkan Negeri Selangor (MES) dilakukan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, majlis anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan I- Berhad ini dihadiri oleh kira-kira 10,000 pengunjung dari pelbagai kaum.

Hadir sama Exco- Exco Kerajaan Negeri, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md Noor, pemimpin kerajaan Negeri Selangor dan 15 orang duta negara asing antaranya Rusia, Itali, Maldives, Iran, Senegal, Ukraine dan Afganistan.

Beliau berkata, program berasaskan perpaduan kaum seperti ini amat bermakna dalam usaha mengeratkan silaturahim di antara kaum di negeri ini.

“Tidak lama lagi kerajaan PR di Selangor akan menyambut dua tahun pentadbiran. Perpaduan perlu dipupuk dan dilaksanakan bukan sekadar dilaung-laungkan.

“Berasaskan kepada kesatuan, visi dan misi yang sama, kita akan dapat keazaman serta motivasi untuk bergerak ke hadapan demi negeri tercinta,” katanya.

Beliau berharap program ini dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum sekali gus dapat melahirkan generasi Malaysia yang bersatu padu, harmonis, hormat menghormati antara satu sama lain dalam membangunkan Selangor sebagai negeri yang prihatin, sejahtera dan berkebajikan.