MPAJ perhebat kesedaran alam sekitar

Thursday, 25 February 2010 | Ruangan: Berita

AMPANG 25 Feb. – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan memperhebatkan usaha menanamkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap kepentingan memulihara alam sekitar termasuk pelajar-pelajar sekolah.
Timbalan Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, usaha itu adalah permulaan sebelum melihat skop yang lebih besar ke arah penyediaan polisi alam sekitar di kawasan pentadbirannya.
Katanya, MPAJ juga akan mempertimbangkan beberapa cadangan lain termasuk mewujudkan unit pembangunan lestari berkaitan alam sekitar, menyediakan rumah hijau sebagai lokasi pengumpulan maklumat-maklumat berkaitan alam sekitar dan sebagainya.
“Kami akan melihat cadangan-cadangan ini sebelum menentukan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Ke Arah Penyediaan Polisi Alam Sekitar MPAJ di Menara MPAJ di sini semalam.
Seminar yang julung kali diadakan itu mengundang dua penceramah jemputan iaitu Prof. Datuk Dr. Kamarudin Mohd. Nor dari Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM) dan Pegawai Laut, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Mazlan Idrus.
Tujuan seminar itu diadakan dengan mengundang individu berpengalaman dalam bidang berkenaan adalah untuk berkongsi idea, pengalaman dan pengetahuan bagi menjayakan projek Polisi Alam Sekitar MPAJ yang bakal digubal.
Seminar yang disertai Ahli Majlis, Jawatankuasa Penduduk (JKP) setiap zon dan pihak pengurusan tertinggi MPAJ, antara lain bertujuan memberi pendedahan awal kepada para peserta tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata, kempen kitar semula, seminar dan sebagainya yang giat dilakukan kalangan masyarakat merupakan perancangan jangka pendek MPAJ.