Tokong Fo Guang Shan Dong Zen lokasi pelancongan menarik
Monday, 22 February 2010 | Ruangan: BeritaJENJAROM, 20 Feb – Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen Jenjarum, Banting dianggap sebagai usaha mempromosikan pelancongan di negeri Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Fo Guang Shan Dong Zen ini bukan sahaja menjadi pusat pelancongan agama yang membangun modal insan dalam pelbagai aspek tetapi turut menjadi pusat pengkajian ajaran Buddha dan sedang mengadakan Pesta Tanglung dan Flora untuk menarik kedatangan ramai.
Menurutnya, usaha dan kerjasama yang dilakukan ini adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri yang melancarkan kempen Tahun Melawat Selangor bertemakan ‘Selangor has more’ (Selangor memiliki kelebihan).
“Kempen ini bertujuan membawa Selangor ke tahap lebih tinggi agar terus menjadi ‘Jenama Pelancongan’ yang menjanjikan pengalaman bermakna dan sukar dilupakan setiap pengunjung yang datang ke negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada sambutan tersebut.
Beliau berkata, dengan memperkenalkan slogan ‘Selangor Shines’ yang menjadi kesinambungan kepada sejarah negeri Selangor sebagai pengeluar utama bijih timah di dunia suatu masa dahulu iaitu sumber alam yang memberikan kekayaan kepada negeri Selangor.
Menurutnya, sinaran itu juga seiringan dengan cahaya serta warna-warni hiasan di tokong Dong Zen ditambah kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri pada tahun ini.
“Sebagaimana telah saya katakan tadi, status pusat pelancongan agama disulam dengan pelbagai acara sambutan lain adalah satu bentuk kerjasama yang baik bagi tujuan pelancongan,” katanya.
Khalid juga berharap supaya sinaran ini tidak terhad kepada warga Selangor, tetapi dapat menyuluh cahaya manfaat kepada pelancong domestik atau luar negara yang memilih Selangor sebagai destinasi pelancongan.



