20,000 hadiri sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri Selangor
Monday, 22 February 2010 | Ruangan: BeritaJENJAROM, 20 Feb – Warna-warni sambutan Tahun Baru Cina peringkat Negeri Selangor yang diraikan bulan lepas bukan sahaja diraikan masyarakat Tiong Hua tetapi turut dikongsi bersama kaum Melayu dan India yang sama-sama ingin merasai suasana meriah tahun Harimau ini.
Sambutan yang diadakan di Tokong Dong Zen di sini dimeriahkan kira-kira 20,000 masyarakat tempatan selain dihadiri tetamu jemputan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco Kerajaan Selangor.
Majlis bertambah meriah apabila Khalid bersama exconya turut menikmati makanan tradisi ‘Yee Sang’ bersama pemimpin masyarakat tempatan.
Dalam ucapannya, Khalid turut menyatakan bahawa beliau mahu sambutan perayaan seumpama ini dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat berbilang kaum di Selangor dan saling berkongsi keunikan budaya kaum lain.
“Kita mahu semua rakyat di negeri ini mengenali lebih dekat budaya dan perayaan masyarakat Tiong Hua,” katanya.
Khalid juga berpendapat, lokasi Tokong Dong Zen juga dianggap bertepatan dengan sambutan ini kerana tokong itu sedang menganjurkan Festival Bunga-bungaan dan Tanglung yang bermula 12 hingga 28 Februari.
Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, perayaan ini dapat disertai semua kaum di negeri Selangor dan berharap masyarakat akan dapat mempelajari kekuatan daripada harimau sempena Tahun Harimau ini.
“Saya berharap rakyat akan dapat mempelajari kekuatan dan keberanian daripada tahun Harimau dalam memberikan manfaat kepada perkembangan negeri Selangor,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei juga berpendapat, sambutan perayaan kali ini amat berbeza sempena tahun Harimau dengan penglibatan daripada badan bukan kerajaan (NGO) World Wildlife Fund (WWF) bagi menyedarkan masyarakat tentang populasi harimau yang semakin terancam.
“Tahun ini memberikan kelainan apabila turut melibatkan WWF dalam menyedarkan orang ramai tentang populasi harimau dan lokasi pilihan sambutan Tahun Baru Cina kali ini juga amat strategik kerana menjadi kunjungan ramai sekali gus hasrat WWF lebih menyeluruh dan mudah diterima ramai,” katanya ketika ditemui pada sambutan tersebut.
Pei Nei turut membuat ‘tiger face painting’ bertepatan dengan tema tahun harimau sebagai tanda sokongan kepada kemeriahan sambutan perayaan kali ini.
Sementara itu, pengunjung yang hadir juga menyatakan rasa gembira sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini.
Yee Ling dari Petaling Jaya menyifatkan sambutan kali ini dianggap meriah kerana turut disertai WWF dan dia sendiri ingin memberi sokongan terhadap sambutan perayaan sempena tahun Harimau ini.
“Saya datang untuk memberi sokongan kepada seniman yang membuat ‘tiger face painting’ sebagai aktiviti sihat kepada masyarakat. Selain itu saya juga berpendapat bahawa sambutan ini juga amat bersesuaian dikunjungi ahli keluarga pelbagai kaum dan wajar diadakan pada tahun akan datang,” katanya.
Beberapa pengunjung kurang upaya (OKU), anak yatim dan warga tua juga turut menerima ang pau yang disampaikan Khalid sendiri.



