BN sengaja politikkan sambutan Tahun Baru Cina

Monday, 22 February 2010 | Ruangan: Berita

JENJAROM 20 Feb – Pertindihan tarikh penganjuran sambutan Tahun Baru Cina di antara Kerajaan Selangor dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai disengajakan BN bagi mempolitikkan sambutan perayaan itu.

Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, berpendapat tindakan kerajaan BN ini jelas menunjukkan kepada rakyat taktik permainan politik mereka.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan Selangor terlebih dahulu mengumumkan tarikh sambutan itu dan kerajaan pusat boleh memilih tarikh lain dalam tempoh 15 hari perayaan tersebut.

“Kerajaan Selangor terlebih dahulu mengumumkan tarikh sambutan perayaan ini dan saya merasakan bahawa BN sengaja memberikan gambaran buruk bukan sahaja kepada rakyat Selangor tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Tokong Dong Zen di sini malam tadi.

Hian Wah juga menganggap bahawa tindakan ini tiada keikhlasan dalam merayakan satu perayaan penting bagi masyarakat Tiong Hua.

“Tindakan ini sememangnya memperlihatkan tiada keikhlasan oleh BN dalam merayakan sambutan perayaan ini kerana tindakan mereka sengaja memilih tarikh yang sama sedangkan mereka mempunyai 15 tarikh lain sepanjang perayaan ini diraikan,” katanya.