Unisel anjur Program Sehari Bersama Rakan Cop Selasa ini

Monday, 22 February 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 21 Feb – Universiti Industri Selangor (Unisel), sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan Selangor akan mengadakan Program Sehari Bersama Rakan Cop di Kampus Bestari Jaya pada 23 Februari ini.

Seramai 600 pelajar Fakulti Pendidikan dan Pengajian Bahasa dan warga Unisel terlibat dalam program anjuran Unisel dengan kerjasama polis, bertujuan meningkatkan kesedaran ramai ke arah matlamat jenayah sifar.

Program itu akan dihadiri Presiden dan Naib Canselor universiti itu, Datuk Dr Rosti Saruwono dan Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Bahasa, Prof Dr Abdul Rashid Johar.

Dalam program itu, Pegawai Hal Ehwal Awam Negeri Sembilan, ASP Mohamad Ra’ayim Jemakir juga akan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Mangsa dan Pelakuan Jenayah Jalanan Di Kalangan Pelajar’.

Pelbagai pameran dan persembahan menarik turut disediakan, antaranya pameran kenderaan berkuasa tinggi, senjata berbahaya, persenjataan polis dan pelbagai jenis dadah.

“Program ini dilihat sebagai serampang dua mata dalam memperkasa institusi pendidikan selain menjalin kerjasama erat antara Unisel dan polis,” kata Penolong Pengurus Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan.