18 DISEMBER 2008 LAPORAN TANAH RUNTUH TIDAK DITERIMA

Jan 2nd, 2009 | By Admin En | Category: Press Releases

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor menerusi Dato’ Menteri Besar pada hari Ahad lepas telah mengadakan dua sessi dialog bersama dua kumpulan wakil penduduk Bukit Antarabangsa yang mengalami peristiwa tanah runtuh dua minggu lalu. Sewaktu kedua-dua dialog itu berlangsung, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyatakan persetujuannya untuk memberikan laporan geo-teknikal dan laporan siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) kepada kerajaan negeri Selangor. Ini adalah untuk membolehkan Dato’ Menteri Besar membuat pengumuman tentang status keselamatan lima kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa dan seterusnya langkah-langkah yang patut diambil oleh kerajaan negeri.

Namun demikian, JKR hari ini memaklumkan bahawa laporan- laporan yang berkenaan tidak akan diserahkan kepada kerajaan negeri. Keputusan ini amat mengelirukan dan dikesali kerana ini akan menyulitkan lagi usaha kerajaan negeri bagi membuat keputusan dalam menentukan nasib mangsa kejadian tanah runtuh dengan secepat mungkin.

Umum sudah tahu, hal-hal pengurusan tanah adalah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Oleh itu membelakangkan pihak kerajaan negeri hanya merugikan mangsa kejadian tanah runtuh. Adalah diharap, agensi-agensi kerajaan bersikap lebih profesional dalam mengendalikan perihal tragedi ini.

Walaubagaimanapun, Dato’ Menteri Besar akan mengumumkan langkah-langkah yang perlu diambil sebaik sahaja menerima laporan tersebut dan bersedia menggunapakai setiap kaedah yang dirasakan perlu serta terus memantau keadaan kawasan tanah runtuh dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri dan semua agensi-agensi yang terlibat akan meneruskan usaha supaya nasib mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh akan terbela.

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR



Fatal error: Call to undefined function hideshowcomments() in /home/selangor/public_html/en/wp-content/themes/selangorkini/single.php on line 21